Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zainuddin Mohd. Ali berkata, restoran itu didapati  melanggar akta Peraturan-Peraturan Kesihatan Malaysia (PPKM) 2009.

"Kita telah arahkan restoran ini ditutup selama tempoh 14 hari mengikut Sesyen 11 Akta Makanan selepas pemeriksaan dilakukan.

"Empat notis turut dikeluarkan kepada restoran tersebut di bawah PPKM 2009," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebuah video berdurasi 3 minit 16 saat tular dilaman sosial hari ini menunjukkan seorang pelanggan tidak berpuas hati selepas ayam goreng yang dimakannya didakwa keluar ulat.

Zainuddin berkata, premis yang diarah tutup kebiasaannya mempunyai lebih daripada satu kesalahan dan tahap kebersihan yang sangat rendah.

Justeru, beliau menasihatkan pengendali makanan agar mengambil perhatian serius serta sentiasa mematuhi aspek kebersihan dan keselamatan makanan.

"Jabatan kesihatan serta pihak berkuasa tempatan akan memastikan mana-mana aduan yang diterima daripada pelanggan berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan diambil tindakan," katanya. - K! ONLINE