Teknik itu digunakan satu sindiket di Batu 15 Jalan Klang - Banting di sini hasil serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya pukul 5.30 petang, semalam. 

Timbalan Pengarah Cawangan Operasi Khas KPDNHEP, Rosli Ahmad berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati ketulan ais itu digunakan bagi tujuan mencairkan dan pemejalwapan gas semasa proses pemindahan. 

Katanya, sindiket ini dipercayai mampu memenuhkan 60 tong gas industri berkapasiti 50 kilogram (kg) daripada tong gas bersubsidi 14 kg dalam tempoh empat jam. 

"Setiap tong gas itu kemudiannya dijual bagi pasaran industri sekitar daerah ini dan Klang. 

"Harga asal bagi tong gas industri adalah RM400 di pasaran dan sindiket dipercayai  menjualnya serendah RM300 setong," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, hasil siasatan awal mendapati sindiket yang dipercayai didalangi warga tempatan itu baharu beroperasi sebulan lalu dengan menyewa sebuah gudang sebagai markas operasi mereka. 

Ujar Rosli, semasa serbuan dilakukan didapati dua pekerja lelaki warga Myanmar berusia 30an sedang melakukan proses pemindahan gas. 

"Hasil pemeriksaan berjaya merampas 221 tong gas 14 kg dan 30 tong masing-masing bagi 15 kg dan 50 kg dengan nilai rampasan dianggarkan RM55, 818. 

"Siasatan turut mendapati warga Myanmar itu yang memasuki negara ini menggunakan visa pelancong kini direman selama tujuh hari bermula hari ini," katanya. 

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961. - K! ONLINE