Beliau menyatakan hasrat itu selepas Lan Pet Pet atau nama sebenar, Mazlan Ahmad, 49, bertemu dengannya di sebuah premis dalam pasar raya Giant dekat sini pada pukul 9 malam tadi bagi memohon maaf.

"Dia datang bersama keluarganya berjumpa dengan keluarga saya dan memohon maaf. Saya dengan hati terbuka memaafkannya selepas melihat keinsafan pada dirinya.

"Saya tidak meneruskan hasrat menyamannya. Wang terkumpul kira-kira RM4,000 yang orang ramai beri pada saya bagi membantu saya mendapatkan khidmat peguam untuk menyamannya sebelum ini saya akan wakafkan," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.

Yahya berkata, Lan Pet Pet turut mengaku dia bertindak diluar batasan keatas dirinya pada malam kejadian kerana sedang berada dalam keadaan tertekan.

Jelasnya, dia faham mana-mana individu boleh bertindak seperti itu apabila berada dalam keadaan demikian dan mahu melupakan perkara itu.

"Pakcik dah maafkan Lan Pet Pet. Lupakan perkara yang lalu. Buang yang keruh dan ambil yang jernih. Lagipun tidak lama lagi kita akan menyambut Ramadan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, dia dimaklumkan Lan Pet Pet mahu mengadakan sidang media berhubung isu itu, namun tarikh belum ditetapkan.

Pada 15 April lalu, Mazlan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban selepas mengaku salah memukul Yahya semasa warga emas itu sedang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Acacia Park Desa Jati.

Yahya sebelum ini tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan dan berhasrat merayu hukuman itu di Mahkamah Tinggi Seremban serta mahu menyaman pelawak tersebut. - K! ONLINE