Zuraida berkata, tindakan parti yang masih belum memecat Haziq sehingga kini disifatkan kurang bijak kerana Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong itu dianggap telah mencemar dan memalukan parti.

“Pada prinsipnya tindakan PKR itu sendiri kurang bijak apabila pelaku telah mengaku kesalahan yang dilakukannya secara terbuka.

“Sudah tentu kelakuan luar tabii adalah satu jenayah dalam negara jadi sepatutnya tindakan pecat harus diberikan kepada ahli parti (Haziq) kerana ia memalukan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Aplikasi Mobil i-Gadaian dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini hari ini.

Sementara itu, Zuraida menyifatkan kenyataan beberapa pihak yang mendesak Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden PKR untuk meletak jawatan berikutan penularan video seks itu juga sebagai konyol (kurang siuman).

“Saya memandang desakan Azmin letak jawatan sebagai cadangan yang konyol.

“Saya ingat orang yang buat kenyataan itu harus lebih waras, mereka yang berada di sebalik penyebaran video itu lebih baik fokus membantu membina negara,” katanya.

Kosmo! Online semalam melaporkan Mohamed Azmin memberi keterangan kepada polis pada Isnin lalu bagi membantu siasatan berhubung kes video seks yang dikaitkan dengan dirinya.

Beliau juga yakin penularan video seks itu adalah perbuatan ‘orang dalam’ untuk menjatuhkannya dan menyerahkan perkara itu kepada rakyat untuk menilai. - K! ONLINE