Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, ini bagi memastikan siasatan terperinci dilakukan bagi mengenal pasti dalang penyebaran video itu.

Katanya, tiada jangka masa ditetapkan untuk siasatan kes tersebut.

“Kita juga tidak menetapkan jangkaan masa dalam mengesahkan ketulenan video seks itu.

“Biar kita halusi siasatan yang ada dan sebagainya dan kita akan menyiapkan kertas siasatan secepat mungkin,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan terkini siasatan video seks dikaitkan Mohamed Azmin dan ahli PKR, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Dalam pada itu, Mazlan mengesahkan pihaknya telah merakamkan keterangan daripada Mohamed Azmin semalam namun tidak boleh mendedahkannya.

“Mana boleh cakap apa-apa kenyataan diambil termasuk dari Mohamed Azmin.

“Sekiranya, maklumat tambahan diperlukan kita akan panggil balik beliau,” katanya. 

Ketika ditanya pemberita mengenai dakwaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu, Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Rais Yatim bahawa polis telah memaklumkan dalang tersebut kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Mazlan menegaskan supaya bertanya Rais sendiri.

“Saya sudah beritahu tidak mahu dedahkan sesiapa dan masih dalam siasatan. Siapa yang disiasat tidak akan didedahkan,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin dalam satu majlis di Dewan Jubli Perak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini menegaskan yakin bahawa penularan video itu dilakukan adalah perbuatan orang dalam PKR.

Kosmo! hari ini melaporkan Polis menerima sebanyak 17 laporan dan merekodkan 21 kenyataan berhubung kes video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri baru-baru ini. - K! ONLINE