Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, ia ekoran pengakuan itu dibuat diatas kerelaan bekas Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama itu sendiri.

“Mengikut hukum Islam mensabitkan kesalahan melalui dua cara iaitu melalui keterangan saksi dan kedua melalui pengakuan. Apabila seseorang mengaku dia melakukan jenayah, maka sudah boleh dijatuhkan hukuman.

“Hukuman sama seperti zina. Jika masih bujang boleh dikenakan sebatan dan jika sudah berkahwin direjam,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Restoran Nasi Kandar Liga Maju di sini hari ini.

Beliau ditanya pemberita mengenai satu rakaman video dipercayai Haziq Abdullah mengaku dia merupakan individu dalam video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada 13 Jun lalu, Haziq Abdullah digantung daripada melaksanakan tugas-tugas rasmi Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama dan diarahkan menjawab surat tunjuk sebab dalam tempoh tiga hari disebabkan isu itu. - K! ONLINE