Timbalan Presiden PKR itu berkata, beliau turut menyerahkan kepada rakyat membuat hukuman berhubung perkara tersebut.

“Pada awal lagi saya yakin ini agenda politik orang-orang tertentu yang bertujuan untuk menyekat kemaraan prestasi saya dalam kerajaan.

“Saya yakin umum akan dapat melihat siapakah dalang dalam hal ini. Biar polis jalankan siasatan dan saya kira tidak adil sekiranya mana-mana individu buat kenyataan yang boleh menganggu siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Hak Pembangunan antara Konsortium Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB)-MGB dan Must Ehsan Develpoment Sdn Bhd di Dewan Jubli Perak SUK di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Ketika ditanya sama ada beliau perlu membuat sumpah laknat berhubung video berkenaan, Mohamed Azmin berkata, ia mempunyai proses tertentu termasuk laporan qazaf dan perlu berjalan lancar.

Jelas beliau, Setiausaha Politiknya, Hilman Idham juga telah membuat laporan qazaf (tuduhan zina) di Pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), dekat sini baru-baru ini.

“Sebab itu saya buat laporan qazaf dan ada prosesnya. Biarlah proses berjalan dan saya ambil tindakan berdasarkan nasihat peguam dan pihak yang memberi pandangan mereka.

“Kita harus membenarkan siasatan ini berjalan dan tidak terganggu dengan kenyataan dan tekanan kepada pihak bertanggungjawab menjalankan siasatan,” katanya.

Pada masa sama, Mohamed Azmin menjelaskan, pihak polis telah mengambil keterangannya berhubung laporan polis yang dibuat Hilman yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia.

“Saya menyatakan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam menjalankan siasatan siasatan atas dakwaan kejam dan jahat.

“Ketika polis mengambil keterangan Hilman saya berada di Pulau Pinang. Sekembalinya, saya memberi keutamaan untuk merakam keterangan semalam berhubung laporan polis tersebut,” katanya. - K! ONLINE