Peguam Mohamed Azmin, N. Surendran berkata, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan mereka.

“Pejabat menteri itu dihubungi polis pada Ahad, 16 Jun, untuk merakam keterangannya sebagai sebahagian daripada siasatan mereka.

“Terdapat petunjuk jelas mengenai wujudnya cubaan terancang dan sistematik untuk mencemarkan nama baik dan menjatuhkan menteri itu dengan serangan tuduhan palsu dan berniat jahat.

“Para pelakunya juga mempunyai akses kepada data peribadi anggota parti yang dibocorkan, satu kaedah canggih dan mempunyai agenda politik yang jelas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Surendran berkata, pihaknya yakin polis akan dapat menyelesaikan perkara itu dalam masa terdekat bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap para pelakunya mengikut lunas undang-undang.

Mohamed Azmin pada Rabu minggu lepas menafikan sekeras-kerasnya dakwaan seorang individu yang cuba mengaitkannya dengan video seks dengan menyifatkannya sebagai satu rancangan berniat jahat untuk merosakkan nama baik dan karakter beliau untuk merosakkan karier politiknya. - Bernama