Seorang pemilik dusun durian, Zulkepli Hamidon, 53, telah memilih jembalang hitam untuk digunakan sebagai penjaga dusun. 

Zulkepli berkata, jembalang hitam yang diperbuat daripada plastik itu dijadikan patung yang digantung pada pokok durian dengan kos RM30 setiap satu. 

"Patung ini dicat dengan warna hitam dan ia akan bergerak apabila ditiup angin menyebabkan haiwan pemusnah akan lari. 

"Saya memasang lima patung di dalam dusun dan ternyata ia berkesan bagi menghalau monyet dan tupai yang sering memusnahkan buah durian muda," katanya. 

Menurutnya, dia sebelum ini sering mengeluh apabila dusun seluas satu hektar itu menjadi habuan kepada monyet dan tupai. 

"Sejak seminggu lalu, kehadiran haiwan itu semakin berkurangan dan buah durian didusun juga tidak rosak," ujarnya. 

Tambahnya, patung berkenaan turut diikat pada botol-botol plastik yang kadang kala turut menyebabkan rakan-rakannya terkejut apabila berada di dusun untuk mencari durian. 

"Alhamdullilah, dusun saya lebih selamat dan kami dapat menikmati hasil durian yang lebih baik berbanding sebelum ini," jelasnya. - K! ONLINE