Pengerusi Gerakan Belia 4B, Pasir Puteh, Nurul Hazizi Ismail berkata, program yang julung kali diadakan itu melibatkan 178 peserta larian dari seluruh daerah termasuk pelajar sekolah yang berdekatan.

Menurutnya, amalan gaya hidup sihat dan menyerlahkan keaktifan belia dalam komuniti serta sentiasa berketerampilan adalah objektif utama program itu dianjurkan.

"Kita menetapkan tiga kategori larian yang melibatkan peserta sekolah rendah sejauh tiga kilometer (km), sekolah menengah (4km), manakala kategori belia dan dewasa sejauh enam km.

"Peserta amat teruja dengan penyertaan Cik Puan Sofie yang turut mengambil bahagian menyertai larian yang sekali gus menggambarkan betapa perlunya aktiviti bersukan untuk kesihatan diri," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Yang turut hadir dan menyertai larian ialah Ketua Pegawai PPD Pasir Puteh, Harun Yusof dan Pengerusi 4B Negeri, Shahrul Fadhel Abd. Aziz.

Nurul Hazizi berkata, semua peserta larian diberikan medal dan sijil penyertaan manakala bagi kategori sekolah rendah johan menerima wang tunai RM100, tempat kedua RM50 dan tempat ketiga RM30.

"Bagi Kategori Sekolah Menengah dan dewasa johan menerima wang tunai RM150, naib johan RM100 dan tempat ketiga RM50," katanya.

Nurul Hazizi berkata, hadiah bukan ukuran utama kerana yang lebih utama ialah kejayaan menjalankan kempen gaya hidup sihat.

"Kami bercadang untuk menjadikan White Sand Colour Run sebagai acara tahunan dengan penyertaan yang lebih ramai pada masa akan datang," katanya. -K! ONLINE