SKMM dalam satu kenyataan hari ini memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan rakaman video terbabit yang berpotensi untuk menyemarakkan sentimen perkauman dalam kalangan masyarakat.

"Orang ramai diminta untuk segera melaporkan kewujudan rakaman video itu kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat.

"Penyebaran atau sikap memberi komen ke atas kandungan yang tidah sahih bukan sahaja boleh mewujudkan kekeliruan awam tetapi juga dikhuatiri menggugat keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini," katanya di sini hari ini.

Baru-baru ini, satu rakaman video buli menunjukkan seorang pelajar teruk di belasah sekumpulan pelajar lain tular di laman sosial dan aplikasi Whatsapp.

Kejadian buli yang dipercayai berlaku di sebuah sekolah menengah di Miri, Sarawak pada 8 Julai lalu itu terbongkar selepas bapa mangsa berusia 13 tahun tampil membuat laporan polis mendakwa anaknya dipukul lima remaja.

Sementara itu, SKMM berkata, perkongsian kandungan bersifat jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

SKMM pada masa sama turut menggesa orang ramai supaya bertanggungjawab dalam menyebarkan atau memberi komen terhadap mana-mana kandungan di laman sosial sama ada berupa video, gambar mahupun tulisan. - K! ONLINE