Tertuduh Muhammad Raffi Md. Rawi, 29, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.

Mengikut petuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa sebagai Pegawai Zakat (amil zakat) yang telah dimanahkan dengan wang masing-masing bernilai RM1,750 dan RM3,000 telah melakukan jenayah pecah amanah iaitu dengan menjadikan kedua-dua wang itu untuk kegunaannya sendiri.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kaunter Kutipan Zakat Lembaga Zakat Selangor Cawangan Taman Melawati di sini masing-masing pada 24 Julai 2018 dan 12 April 2019. 

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan maksimum 14 tahun dengan hukuman sebat dan boleh dikenakan denda. 

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd. Razak tidak menawarkan jaminan kerana pertuduhan yang dihadapi tertuduh tidak boleh diikat jamin. 

Raihanah ketika berhujah memberitahu bahawa tertuduh berpotensi untuk melarikan diri. 

Bagaimanapun, Muhammad Raffi yang tidak diwakili peguam merayu agar diberikan ikat jamin kerana mempunyai tanggungan keluarga dan berjanji tidak akan melarikan diri. 

"Sepanjang siasatan, saya telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa dan saya tidak akan melarikan diri," katanya. 

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Norhazani membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali selain pasport diserahkan kepada mahkamah. 

Tarikh 7 Oktober ini ditetapkan untuk sebutan semula kes. - K! ONLINE