Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, haiwan itu yang terperangkap selama enam jam dijumpai oleh pasukan keselamatan stesen terbabit pada pukul 4.15 pagi yang kemudian memaklumkannya kepada Jabatan Perhilitan.

"Anak gajah itu dilaporkan sedang melintas jalan bersama ibunya apabila tiba-tiba terjatuh ke dalam longkang.

"Bagaimanapun, satu pasukan dari Pejabat Perhilitan Bandar Penawar telah pun digegaskan ke lokasi kejadian untuk melakukan pemantauan sejurus dimaklumkan mengenainya dan kira-kira 10 pagi, anak gajah itu berjaya dikeluarkan oleh ibunya sendiri namun terdapat kesan calar dan berdarah pada badannya, mungkin akibat bergesel dengan longkang simen," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Salman berkata, anak gajah itu yang masih boleh berjalan kemudian telah beredar ke arah 
Hutan Simpan Panti bersama ibunya.

Beliau berkata, kedua-dua gajah itu adalah daripada kumpulan pecahan gajah ID Panti yang mempunyai anggaran populasi antara 30 hingga 40 ekor.

Ia juga merupakan kumpulan gajah yang dikatakan menimbulkan konflik di kawasan pertanian bersempadan dengan Hutan Simpan Panti sebelum ini iaitu di Ladang getah LGM, Kampung Lukut, Kampung Bukit Samsu, Kampung Sendayan, Kampung Temenin, Kampung Mawai dan ladang atau kebun milik persendirian. - Bernama