Menyifatkan desakan NGO sebagai tidak profesional, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya sebaliknya melontarkan persoalan kepada Otai Reformis 1998 bahawa adakah Pakatan Harapan (PH) mampu memenangi Pilihan Umum Ke-14 (PRU14) serta membentuk kerajaan tanpa jaminan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

"Saya fikir semua pihak khususnya Otai Reformis 1998 ini tahu bahawa majoriti rakyat telah memilih serta memberi mandat kepada PH sebagai kerajaan kerana Dr. Mahathir diangkat sebagai Perdana Menteri. Itulah persetujuan yang dicapai oleh semua pimpinan parti komponen PH sebelum ini.

"Mengapa tidak menghormati persetujuan yang telah dicapai ini?. Ketika ini, Dr. Mahathir sedang berusaha keras untuk memulihkan negara. Sepatutnya semua pihak perlu memberikan sokongan serta mengutamakan agenda nasional, bukannya kemaruk memaksa Perdana Menteri tetapkan masa dan tarikh peralihan kuasa dengan segera," tegas beliau di sini hari ini.

Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri itu mengulas kenyataan Pengerusi Otai Reformis 1998, Dr. Idris Ahmad semalam yang dilaporkan mendesak Dr. Mahathir menetapkan satu tarikh untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

Menurut Idris, perkara itu dibuat atas alasan ketidaktentuan peralihan kuasa di antara kedua-dua pemimpin tersebut telah menjadi polemik dalam kalangan rakyat malah boleh menjejaskan kepercayaan pelabur asing untuk melabur di negara ini.

Malah, Otai Reformasi 1998 hari ini dilaporkan mempertahankan kekal pendirian mereka berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, Abu Bakar menegaskan alasan Otai Reformis 1998 itu tidak kena pada tempatnya kerana sikap tidak sabar atau desakan oleh pihak tertentu berkaitan isu peralihan kuasa hanya akan meresahkan rakyat dan membimbangkan para pelabur terhadap negara.

"Peralihan kuasa memang akan tetap berlaku, namun kaedahnya harus diambil kira agar ia tidak memberi kesan kepada rakyat dan negara. Mengapa ada pihak tidak sabar-sabar dalam perkara ini?.

"Namun saya ada rasa skeptikal di sebalik desakan Otai Reformis ini. Apakah tindakan mereka itu mewakili suara rakyat atau mewakili ketua mereka semata-mata," soalnya. - K! ONLINE