Pegawai Pusat Komunikasi Strategik USIM, Mohd. Zaini Othman berkata, negara terbabit adalah Indonesia, Vietnam, Thailand dan Kemboja.

"Pelajar USIM yang sedang bercuti semester ini melaksanakan ibadah korban di luar negara di bawah program Global Islamic Student Outreach (GISO).

"Program GISO menyediakan platform kepada mahasiswa USIM melaksanakan program kesukarelawanan yang menerapkan elemen libat sama masyarakat, pemindahan ilmu, pertukaran budaya dan kelestarian alam sekitar," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd. Zaini berkata, seramai 20 pelajar USIM terbabit menyempurnakan ibadah korban di Kampung Anoi Itam, Pulau Weh Sabang, Acheh Indonesia, manakala 23 lagi melaksanakan ibadah itu di perkampungan Tay Ninh, Vietnam.

Kata beliau, sekumpulan 52 pelajar USIM melaksanakan ibadah korban di Krabi, Thailand dan 16 lagi pelajar universiti itu menunaikan ibadah korban di Kampung Chnang, Kemboja.

Menurut beliau, kehadiran mahasiswa USIM melaksanakan program khidmat masyarakat di perkampungan umat Islam terbabit amat dihargai  dan diraikan oleh masyarakat di situ.

Selain itu, kata beliau, pelajar USIM turut menyerahkan sumbangan berupa 14 buah basikal kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin di Kampung Chnang menerusi program itu.

"Semenjak dilancarkan oleh USIM pada 2011, sehingga 2016 sebanyak 156 pengembaraan GISO telah dijalankan dengan penjelajahan ke lebih 20 buah negara yang melibatkan keseluruhan 3181 pelajar terlibat," katanya. - K! ONLINE