Apa yang pasti, beban hutang ini tidak tercipta dengan sendirinya, tetapi ia dibina menerusi perbelanjaan melebihi kemam­puan dan juga penggunaan kad kredit tanpa kawalan.

Apabila sebahagian besar pendapatan digunakan untuk membayar hutang dan selebihnya pula untuk membiayai kos sara hidup, sudah pasti keperluan untuk me­labur terpaksa diketepikan.

Masalah mengurus kewangan kadangkala bermula daripada gaji pertama lagi, iaitu apabila kita gagal menyalurkan gaji yang diterima dengan betul dan ia berterusan sehingga menjadi amalan.

Tiada siapa menafikan anda perlu kelihatan berketerampilan dan bergaya apabila sudah berkerjaya, namun berbelanja­ besar sehingga berhutang untuk barangan berjenama atau minum dan makan di kedai mewah bukanlah langkah permulaan yang betul.

Ramai juga memilih membeli kenderaan luar negara dengan tag harga ratusan ribu ringgit sedangkan ada sahaja kenderaan berharga bawah RM50,000 yang boleh dimiliki sekadar untuk memenuhi keperluan pengangkutan.

Komitmen bulanan sehingga lebih RM1,000 berserta komitmen insurans, servis, minyak, tol dan sebagainya menyebabkan peruntukan besar perlu diberikan untuk mengurus kenderaan sahaja.

Jadi setiap bulan, wang gaji yang di­terima hanya digunakan membayar hutang kereta, hutang kad kredit, membayar bil dan sara diri. Apabila berdepan masalah seperti sakit atau kereta rosak, anda tiada pilihan hingga terpaksa meminjam atau menambah lagi hutang kad kredit.

Masalah kewangan ini berlanjutan kerana kita memilih untuk tidak melabur, sebaliknya me­numpu kepada berbelanja, sedangkan wang yang dilaburkan adalah milik kita, manakala wang yang di­belanjakan sudah tiada lagi.

Jadi jika anda masih muda, tetapkanlah sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji yang diterima untuk pelaburan.

Wang yang dilaburkan akan berkembang dari tahun ke tahun. Jika anda melabur secara konsisten sebanyak RM100 setiap bulan, tidak mengeluarkan dividen yang dite­rima dan menerima pulangan purata tahunan 7 peratus, anda akan mempunyai kira-kira RM7,000 selepas 5 tahun.

Jika anda melabur RM150, anda akan mempunyai kira-kira RM10,000 dalam tabungan. Tanpa pelaburan, mungkin anda hanya bermimpi untuk memiliki wang sebanyak itu selepas 5 tahun bekerja.

Pelaburan boleh menjadi sumber pendapatan kedua, boleh membantu mencapai matlamat idaman se­perti membeli rumah dan mengembara dan boleh menjadi sandaran waktu kecemasan. Pelaburan akan memberi anda ketenangan dan kebebasan kewa­ngan.

Tip pelaburan mudah

1. Berbelanja mengikut kemampuan.

2. Jangan mencipta hutang tidak diperlukan

3. Ketepikan wang untuk pelaburan sebelum anda mula berbelanja

4. Usah bertangguh, kerana tempoh masa yang panjang memberi keanjalan dalam pelaburan dan membolehkan anda membina tabungan lebih besar.