Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedua-dua agensi tersebut perlu memantau kegiatan penceramah-penceramah segera yang dikesan menggunakan hadis-hadis palsu daripada terus memesongkan pengikut-pengikutnya. 

Menurut Ahmad Zahid, pemantauan terhadap bahan bercetak mudah dilakukan kerana ia tertakluk kepada piawaian seperti Nombor Buku Piawai Antarabangsa (ISBN) sebaliknya sukar bagi mengawal penceramah-penceramah seumpama itu.

"Penceramah fizikal boleh ditegur atau ditarik tauliahnya tetapi bagaimana kalau ada ceramah-ceramah itu disebarkan di YouTube menyebabkan pengikut-pengikut menjadi taksub? Bagaimana pula dengan penulisan dalam teknologi baru?" katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Garis Panduan Penulisan dan Penerbitan Teks Hadith serta Wacana Kawal Selia Hadith Siri II di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mencadangkan agar Jakim serta Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran bersama Lajnah Tahqiq Sahih memulakan garis panduan menggunakan teknologi baharu melalui tanda pagar #hadissahih. 

Mengulas lanjut, beliau turut mendedahkan seorang pemain gitar utama sebuah kumpulan rock yang menjadi penceramah segera yang mempunyai pengikut yang ramai dan taksub.

"Ya, memang ceramah demikian merujuk kepada sumber hukum, tetapi tafsirannya berbeza, pengikutnya ramai dan pengikutnya taksub. Ini menyebabkan berlakunya amalan yang salah," katanya. - K! ONLINE