Perdana Menteri mengambil peluang di pentas antarabangsa, iaitu Persatuan Pihak-pihak Berkuasa Antirasuah Antarabangsa (IAACA) dan Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA), untuk berkongsi pengalamannya mengenai betapa sukarnya hendak memperbaiki kerosakan yang telah berlaku di Malaysia akibat rasuah dan meletakkannya semula pada landasan yang betul sebagai sebuah negara yang demokratik dan progresif.

Mahathir yang mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Austria memberitahu para perwakilan yang menghadiri Persidangan Agung dan Mesyuarat Agung IAACA ke-10 di sini bahawa IAACA mempunyai peranan penting untuk memerangi rasuah kerana sempadan negara-negara sangat poros dan kerjasama antarabangsa boleh membantu membanteras rasuah sebagaimana pengalaman Malaysia menangani skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahathir juga mengakui bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas memenangi pilihan raya umum pada bulan Mei tahun lepas ialah membina semula jentera kerajaan dan menggugurkan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang secara terang-terangan dan secara terbuka memberi sokongan politik kepada Barisan Nasional - parti gabungan yang telah memerintah Malaysia sejak mencapai kemerdekaan pada 1957.

"Dengan adanya rasuah, negara tidak boleh membangun seperti sepatutnya. Jenayah ini merencatkan pembangunan dan memberikan kesan negatif seperti peningkatan kos sara hidup dan kos untuk melaksanakan sesuatu usaha juga turut meningkat.

"Banyak perkara tidak dapat dilakukan kerana pegawai-pegawai (kerajaan) meminta sogokan wang dari orang awam untuk melaksanakannya. Kelulusan akan diperlambatkan (jika orang ramai tidak memberi rasuah)," katanya dalam satu syarahan beliau di IACA,di Laxemburg, dekat sini pada Isnin. – Bernama