Dalam banyak topik yang dibincangkan, penulis tertarik dengan satu isu yang dibangkitkan iaitu berkenaan terdapat segelintir pihak yang sentiasa berasa tidak berpuas hati de­ngan apa yang dilakukan oleh organisasi tempat dia bekerja.

Bercerita lanjut, rakan itu memberitahu, baru-baru ini organisasi tersebut mengadakan majlis kesyukuran sempena ulang tahun penubuhannya dan membuat jamuan makan-makan dan menjemput kakitangan dan juga orang luar.

Apa yang mendukacitakan, majlis tersebut pun turut jadi pertikaian pihak ber­kenaan seolah-oleh mereka yang mencari duit dan peruntukan untuk menganjurkannya.

Pokok pertikaiannya termasuk adakah majlis itu mendapat tajaan mana-mana pihak, daripada mana dapat peruntukan untuk me­ngadakannya dan banyak lagi yang tidak perlu ditulis di sini.

Apa yang menghairankan, menurut rakan penulis, pihak yang mempertikaikan perkara itu tidak ada kena mengena langsung de­ngan majlis tersebut. Mereka saja hendak me­nyibukkan diri dengan mengeluarkan kata-kata yang mengguris dan menyakitkan hati orang yang mendengarnya.

Mungkin pihak terbabit dengki atau tidak berpuas hati kerana tidak menerima unda­ngan untuk menghadiri majlis tersebut atau ada sebab tersendiri.

Walau apa pun sebab musababnya, pihak yang tidak berpuas hati itu tidak ada hak untuk mempertikai atau mempersoal kewajaran diadakan majlis itu.

Inilah yang dikatakan orang lain yang makan nangka, orang lain terkena getahnya.

Sifat hasad dengki seperti ini harus dihindari oleh semua pihak kerana ia boleh mewujudkan suasana tidak harmoni dan aman dalam masyarakat. Lebih teruk lagi, ia boleh mencetuskan pergaduhan berpanja­ngan.

Macam mana kita mahu bergerak maju seiring dengan bangsa lain sekiranya sikap dengki dan selalu berprasangka buruk masih menghantui diri.

Bagi penulis, tidak perlulah disibukkan dengan hal sebegini, tahulah pihak penganjur mencari duit dan sumber kewangan untuk menganjurkan sesuatu majlis itu. Jagalah tepi kain sendiri yang sudah nampak koyak tetapi tidak pula dijahit.

Janganlah jadi lebih sudu daripada kuah, seolah-olah kita yang sahaja yang betul dan sempurna tanpa mempedulikan perasaan orang lain yang berada di sekeliling.

Justeru, sebelum berkata-kata berfikirlah dengan hati yang tenang tanpa ada sebarang prejudis dan jauhi emosi yang bersarang dalam diri. Jadilah seorang manusia yang menghargai perasaan orang lain.

Jika kita mahu orang menghormati kita, hendaklah kita terlebih dahulu menghormati perasaan orang lain.