Penolong Gabenor Bank Negara Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, langkah itu penting bagi mengelak akaun mereka digunakan untuk tujuan jenayah termasuk berkaitan dadah.

"Biasanya penjenayah akan memberikan sedikit imbuhan kepada pemilik akaun yang mungkin mereka tidak sedar akaun mereka telah digunakan oleh penjenayah.

"Terdapat lebih 4,000 kes akaun keldai dadah yang disiasat polis tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kewangan di sini hari ini.

Abu Hassan berkata pihaknya tidak mahu membawa pemilik akaun ke muka pengadilan hanya kerana mereka menerima upah sedikit hasil perbuatan jenayah pihak ketiga.

Ditanya mengenai duit palsu,  beliau berkata penyebaran duit palsu di negara ini adalah dalam jumlah yang kecil.

"Kita perlu berwaspada dan tidak terpedaya terutama di kawasan sibuk dan pada waktu malam kerana penglihatan kurang jelas," katanya sambil menambah wang kertas Ringgit mempunyai pelbagai ciri keselamatan untuk elak dipalsukan.

Karnival Kewangan selama tiga hari yang bermula Jumaat lalu bertemakan 'Utamakan Keperluan Kewangan Anda' bertujuan mendidik orang ramai mengenai hal-hal kewangan. - Bernama