Bagi Kapten Sulaiman Abd Rashid, 44, yang bekerja sebagai Malim Pelabuhan di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor, berkata sistem dalam talian itu dapat  menjimatkan lebih separuh daripada kos mendapatkan seorang pembantu rumah asing daripada ejen.

"Daripada tinjauan yang saya buat dengan ejen-ejen menawarkan pembantu rumah asing, untuk mendapatkan seorang pembantu rumah memerlukan kos RM13,000 hingga RM15,000.

"Tetapi dengan sistem baharu ini, saya hanya perlu belanja RM1,375 untuk urusan Imigresen dan RM5,000 untuk ejen membawa masuk pembantu rumah terbabit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sulaiman yang menetap di Nilai dekat sini, berkata urusan pengambilan pembantu rumah asing juga sangat mudah kerana beliau tidak perlu berulang alik ke pejabat Imigresen untuk  urusan tersebut.

Bagi Shahrulizam Zainal Abidin, 43, yang bekerja sebagai Ketua Audit Dalaman di Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), berkata SMO memberi manfaat besar kepada dirinya kerana dapat menjimatkan masa berbanding menggunakan kaedah sebelum ini.

"Dulu, proses mengambil pembantu rumah asing memakan masa kira-kira sebulan dan saya terpaksa mengambil cuti yang banyak. Tetapi dengan SMO, saya hanya memerlukan masa lapan hari bekerja untuk melengkapkan proses berkenaan.

"Ia menjadi lebih mudah kerana semua dokumen yang diperlukan boleh dimuat naik dalam laman sesawang Imigresen dan saya boleh melakukannya pada waktu terluang termasuk pada sebelah malam dan dibuat di rumah," katanya yang menetap di Rembau dekat sini.

Terdahulu, Sulaiman dan Shahrulizam merupakan dua majikan di negeri ini yang menjadi kumpulan pertama mendapat pembantu rumah asing menerusi SMO.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Sembilan (Kawalan), Amrih Siatoh menyerahkan pasport dan I-Kad untuk pembantu rumah mereka di pejabat Imigresen negeri di sini.

Sementara itu, Amrih berkata sejak sistem itu diperkenalkan, pihaknya menerima permohonan daripada dua individu tersebut dan ia diproses selama tiga hari sahaja berbanding kira-kira tujuh hari sebelum ini.

Beliau berkata pihaknya hanya mengenakan bayaran levi dan fi pemprosesan sebanyak RM1,375 berbanding jumlah antara RM12,000 dan RM15,000 jika diuruskan ejen.

Pihak kami berharap lebih ramai pemohon akan tampil untuk memanfaatkan kemudahan yang disediakan kerajaan dengan menggunakan SMO melalui capaian laman sesawang http://maid-online.imi.gov.my, katanya.

Pelaksanaan SMO diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2018 pada Oktober lepas, bertujuan memberi pilihan kepada majikan untuk mengambil pembantu rumah asing secara langsung tanpa melalui ejen. - Bernama