Tahun ini, UPSR berlangsung dalam tempoh dua minggu berbanding tempoh seminggu pada tahun-tahun sebelumnya. Keputusan memanjangkan tempoh peperiksaan dibuat selepas mengambil kira beberapa cuti umum yang kebetulan jatuh pada minggu yang sama. Bagi minggu pertama (4 dan 5 September), calon perlu menduduki kertas Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris manakala minggu ke­dua (10, 11 dan 12 September) pula melibatkan kertas Matematik, Sains serta Bahasa Tamil/Cina.

Seperti kelazimannya, semua yang terlibat dalam UPSR akan merasai debaran. Calon-calon UPSR, para guru dan semestinya ibu bapa adalah kumpulan yang paling terkesan. Ia suatu gambaran betapa budaya bersaing di Malaysia sangat tinggi.

Semua mahu menjadi yang terbaik antara yang terbaik. Masing-masing berlumba-lumba untuk mengejar kejayaan dan pujian seharusnya diberikan kepada ibu bapa yang berfikiran sedemikian.
Demi masa depan anak-anak, UPSR adalah permulaan dan langkah pertama bagi mereka. Bukan mahu mengetepikan untung nasib pada masa akan datang, namun berbuat sesuatu yang positif itu lebih baik daripada langsung tidak berbuat apa-apa.

Kita bergembira apabila ada yang berjaya dalam UPSR dan kita tidak sesekali menidakkan peluang bagi mereka yang kurang berjaya. Benar, UPSR tidak boleh dijadikan perbandingan. Apatah lagi menjadikan UPSR sebagai tanda aras untuk cerminan generasi pada masa akan datang. UPSR juga bukan garis perbandingan yang membezakan mereka yang berjaya dengan mereka yang gagal. 

UPSR menurut pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia, Anuar Ahmad adalah satu pro­ses pengesanan peringkat sekolah untuk me­ngetahui sama ada seseorang pelajar sudah mencapai objektif kurikulum. Melihat kepada statistik, calon UPSR pada tahun ini adalah 445,641 orang, iaitu hanya 0.4 peratus daripada jumlah keseluruhan 32.6 juta rak­yat Malaysia. Jumlah itu sangat kecil untuk menjadi penentu kepada perjalanan sesebuah negara.

Namun, pengalaman menjadi calon peperiksaan se­perti UPSR merupakan satu pengalaman yang hebat.
Masihkah kita ingat bagaimana debarannya saat kita mengambil ujian lesen memandu? Bagaimana pula perasaan kita ketika di temu duga untuk mendapatkan pekerjaan?

Saat-saat genting itu sama ada kita lulus atau gagal mendapatkan lesen dan pekerjaan sebenar­nya telah memberikan satu pengalaman yang hebat. Daripada pengalaman itulah kita bangkit menjadi manusia yang lebih bersedia menghadapi setiap rintangan sehingga kita berjaya. 

Pada 2 September lalu, iaitu sehari sebelum bermulanya UPSR, kira-kira 50,000 pelajar baharu telah mendaftar di institusi pengajian tinggi seluruh negara. Sesuatu yang pasti, kesemua kumpulan pelajar itu pernah menduduki peperiksaan UPSR yang akhirnya menjadikan mereka sebagai penghuni menara gading.

Pesan saya kepada mereka (calon UPSR), hadapi ujian ini dengan bersungguh-sungguh dan jadikan ia sebagai pengalaman yang maha hebat. Akhirnya, apa jua keputusannya nanti, jangan pernah me­nyerah kalah. Ingat, jangan sesekali peduli bagaimana gelapnya permulaan hidup kita, tetapi pedulilah bagaimana cerahnya masa depan. Optimis dan terus berjuang anak-anak.