Perolehan bagi suku tahun tersebut turut meningkat sebanyak 11.2 peratus kepada RM1.22 bilion berbanding RM1.09 bilion sebelum ini.

"Operasi lapangan terbang mencatatkan pertumbuhan perolehan sebanyak 12.2 peratus kepada RM1.14 bilion, didorong oleh segmen aeronautik dan bukan aeronautik dan ini termasuk perolehan pembinaan sebanyak RM25.8 juta daripada operasi di Turki.

"Disokong oleh pertumbuhan penumpang yang kukuh, segmen aeronautik berkembang sebanyak 11.7 peratus kepada RM588.4 juta berbanding suku tahun sama tahun lepas," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini. 

Operasi di Malaysia mencatatkan pertumbuhan penumpang sebanyak 3.4 peratus (antarabangsa naik 10.2 peratus manakala domestik susut 3.4 peratus) kepada 24.4 juta penumpang berbanding suku tahun sama tahun lepas sebanyak 23.6 juta penumpang.

Pertumbuhan trafik penumpang antarabangsa disumbangkan oleh empat lapangan terbang antarabangsa serantau yang mencatatkan prestasi yang amat baik pada Mac 2018.

Mengenai operasinya di Turki, MAHB berkata trafik penumpang bagi operasi di Turki naik 18.2 peratus kepada 7.8 juta penumpang berbanding suku tahun sama tahun lepas sebanyak 6.6 juta penumpang.

Trafik antarabangsa dan domestik, masing-masing meningkat sebanyak 19.0 peratus dan 17.8 peratus.

Segmen bukan aeronautik turut mencatatkan pertumbuhan perolehan yang hampir  sama kukuh sebanyak 7.6 peratus kepada RM528.9 juta, didorong oleh jualan yang kukuh dicatatkan daripada syarikat konsesi dan peruncit.

Bagaimanapun, operasi bukan lapangan terbang merosot sedikit sebanyak 2.8 peratus atau RM2.1 juta disebabkan perolehan yang lebih rendah daripada perniagaan pertanian susulan penurunan harga Tandan Buah Segar dan kos penyenggaraan yang lebih rendah.

Secara keseluruhannya, operasi di Malaysia mencatatkan perolehan sebanyak RM908.3 juta dengan pertumbuhan 8.8 peratus operasi di Turki mencatatkan pertumbuhan perolehan sebanyak 22.3 peratus kepada RM272.7 juta manakala operasi di Qatar mencatatkan sedikit penurunan dari segi perolehan iaitu sebanyak 1.1 peratus kepada RM34.8 juta. - Bernama