Kementerian Pendidikan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, Lembaga Pengarah UM telah meluluskan penubuhan fakulti tersebut sekali gus membolehkan universiti itu menawarkan program Sarjana Muda Farmasi yang telah dihentikan pada tahun lalu.

Jelasnya, penawaran kembali program itu merupakan saranan dan pandangan Lembaga Farmasi Malaysia bahawa program farmasi tidak wajar diberikan akreditasi tanpa adanya fakulti tersebut.

“Lembaga Pengarah UM telah meluluskan penubuhan Fakulti Farmasi selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan termasuk pandangan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik, Parlimen dan orang awam.

“Bagi tujuan itu, pihak UM juga telah mengambil segala langkah yang perlu termasuk aspek tenaga pengajar dan kemudahan - kemudahan lain bagi membolehkan fakulti itu beroperasi dalam waktu terdekat,” katanya.

Menurut kenyataan itu, permohonan kemasukan ke fakulti itu akan dibuka bagi sesi kemasukan2019/2020 dengan pengambilan kira-kira 40 orang pelajar untuk mengikuti Sarjana Muda Farmasi (Kepujian).

Jelasnya, selain program itu, Fakulti Farmasi juga menawarkan Ijazah Sarjana Sains Kesihatan (Penyelidikan) yang akan dipinda kepada Ijazah Sarjana Sains Farmasi(Penyelidikan) dan Ijazah Doktor Falsafah(Penyelidikan).

Tambahnya, kementerian berpandangan langkah penubuhan Fakulti Farmasi akan memenuhi keperluan semasa sekaligus melonjakan reputasi dan kedudukan UM dalam sektor pendidikan tinggi. - K! ONLINE