Mangsa, Roslin Asud, 54, mengalami sakit lelah, demam panas dan muntah telah sakit sejak lebih seminggu lalu.

Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farhan Marzuki berkata, pihaknya menerima maklumat untuk melakukan operasi penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) itu selepas mendapat panggilan kecemasan daripada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Katanya, penerbangan dilakukan oleh krew penerbangan MI-17-IV yang berlepas dari pangkalan udara Subang pada pukul 2.30  petang telah mendarat di Pos Bihai pada pukul 4 petang.

Katanya, pesakit itu dilaporkan lemah apabila memerlukan bantuan pengusung untuk diangkat menaiki helikopter.

“Pesakit bersama suaminya Alut Anjang, 59, selamat tiba di padang Pusat Sivik Gua Musang pada pukul 4.20 petang sebelum dihantar ke Hospital Gua Musang menggunakan kenderaan kecemasan bomba.

"Sepanjang penerbangan keadaan pesakit terkawal dan dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di hospital,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Mohd. Farhan, penerbangan tersebut dilaksanakan oleh juruterbang, Penguasa Kanan Bomba 1 Sofian Ahmed dan pembantu juruterbang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Azuna Mohamed Sabri serta dibantu oleh tujuh anggota lain.

Mohd. Farhan berkata, pihaknya komited membantu pesakit Orang Asli yang sakit dan daerah Gua Musang mencatat rekod paling banyak setakat ini iaitu 17 penerbangan Medevac sehingga kini.

Katanya, pihaknya sentiasa bersiap sedia untuk membantu dan menyelamatkan masyarakat Orang Asli yang memerlukan bantuan pengangkutan udara.

“Kita memahami jarak penempatan Orang Asli di negeri ini jauh di kawasan pedalaman dan memakan masa yang lama untuk keluar melalui jalan darat,” katanya. - K! ONLINE