Sarimah Jali, 27, dari Pos Balar dilaporkan mengalami sakit bengkak di bahagian perut dan terperangkap di kampung berkenaan apabila jalan balak yang menghubungkan ke bandar rosak teruk akibat hujan lebat.

Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara JBPM Subang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Farhan Marzuki berkata, pihaknya mendapat laporan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sebelum kru penerbangan dari Pangkalan Udara JBPM Bertam, Pulau Pinang bergegas ke lokasi pada pukul 2.25 petang.

Katanya, setengah jam kemudian, helikopter Agusta Westland 139 tiba di Pos Balar dan mengambil pesakit.

“Helikopter itu kemudiannya berjaya mendarat di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 4 petang sebelum menghantar pesakit menggunakan ambulans ke Hospital Gua Musang.

“Sepanjang operasi membantu pesakit, kru penerbangan berdepan cabaran kerana cuaca buruk akibat hujan lebat di kawasan pedalaman,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - K! ONLINE