Shuhaiza Mohd. Noor, 35, dipercayai  terjatuh ketika berjalan kaki melalui jalan licin di Kampung Tendrik, Pos Bihai semasa menjalankan tugas merawat pesakit Orang Asli. 

Pegawai Perhubungan Awam Unit Udara JBPM Pangkalan Subang, Selangor, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Farhan Marzuki berkata, operasi itu menggunakan helikopter Agusta Westland 139 yang  berpangkalan di Bertam, Pulau Pinang. 
 
Katanya, helikopter itu berlepas dari Pangkalan Bertam jam 9.26 pagi dan mengambil masa hampir sejam sebelum mendarat di Kampung Tendrik pada pukul 10.15 pagi. 
     
“Pesakit selamat tiba di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 10.45 pagi sebelum dikejarkan ke HGM dengan ambulan disediakan.

“Kita melaksanakan operasi itu selepas menerima maklumat daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Gombak berhubung seorang jururawat wanita mengalami kecederaan patah tangan kiri dan perlu dihantar segera ke hospital.

“Semasa dalam penerbangan, jururawat berkenaan turut ditemani rakan setugas, Noraini Abdul Hamid, 31,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Farhan berkata, pihaknya dimaklumkan jururawat itu bersama pasukannya menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk menjalankan tugas di kampung berkenaan.  
     
Katanya, ketika di kampung itu kenderaan yang dinaikinya rosak akibat tercabut tayar depan sebelum jururawat terbabit turun dan berjalan kaki.
     
“Akibat jalan rosak teruk dan licin, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan patah tangan kiri.

“Perjalanan melalui jalan darat yang sukar menyebabkan mereka meminta bantuan pengangkutan udara,” katanya. 
     
Tambah Mohd. Farhan, penerbangan ihsan itu diketuai Juruterbang Penguasa Bomba, Mohamad Muizz Md. Pisar dan dibantu Penolong Juruterbang, Penguasa Kanan Bomba I, Faizal Izani Azizan serta tiga lagi anggota. - K! ONLINE