Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, aplikasi dibangunkan Axiata Digital eCode Sdn. Bhd. itu membolehkan pelajar universiti tersebut menggunakan e-dompet sebagai kaedah pembayaran tunggal bagi semua urus niaga di dalam kampus.

"Ia melibatkan lebih 12,000 pelajar, tenaga pengajar dan kakitangan sokongan UniSZA di tiga kampus iaitu Gong Badak, Tembila (Besut) dan Perubatan (Kuala Terengganu).

"Pembayaran tanpa penggunaan wang tunai, kad debit mahu pun kad kredit menerusi Boost boleh dilakukan di mana-mana kedai yang mempunyai kod QR," katanya selepas melancarkan program UniSZA tanpa tunai di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Ahmad Zubaidi Abdul Latif dan Ketua Tanggungjawab Korporat dan Perhubungan Kerajaan Celcom Axiata Berhad, Saiful Bahrin Abdul Ghaffar. - K! ONLINE