Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, program tersebut selaras dengan saranan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik yang mahu institusi pengajian tinggi awam tempatan memberi penempatan kepada Sasterawan Negara sebagai tanda penghargaan kepada golongan itu.

"Saya telah menyatakan secara lisan hasrat UniSZA untuk memberikan penghormatan kepada Datuk Seri A. Samad Said bagi dilantik di bawah program penempatan Sasterawan Negara dalam satu pertemuan semalam.

"Beliau telah menzahirkan persetujuan dengan tawaran tersebut dan surat tawaran rasmi bakal diserahkan kepadanya dalam satu majlis yang akan diadakan di kampus UniSZA, Kuala Nerus pada 9 Mac depan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hassan Basri berkata, antara perancangan awal berhubung program penempatan Sasterawan Negara itu ialah mewujudkan sebuah galeri yang akan memuatkan karya sastera dan dokumentasi A. Samad Said termasuk telah diangkat sebagai subjek drama dan filem.

A. Samad Said yang dinobatkan sebagai Sasterawan Negara pada 1986 aktif dalam penulisan novel, cerpen, puisi, drama dan esei kritikan terkenal menerusi karya-karya seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang, Daerah Zeni dan Cinta Fansuri. - K! ONLINE