Anugerah Pesona Tempa Nusa diberikan kepada pengusaha tembaga, Wan Mahadi Wan Ismail manakala Zaharah Hamid yang merupakan penari tradisional mendapat pengiktirafan Pesona Temurun Warisan Tari manakala Johan Mustafa diumumkan sebagai penerima Anugerah Pesona Seri Jemari kerana jasanya dalam bidang ukiran batu permata.

Penggiat seni tradisional permainan rodat, Razak Senik yang bergiat aktif hampir 40 tahun diiktiraf sebagai Pesona Libur Rakyat dan penyanyi asal lagu 'Ulek Mayang', Wan Salmah Wan Sulaiman diangkat sebagai penerima Anugerah Pesona Temurun Warisan Nyanyi serta penggubah lagu rakyat, Mohamed Zamani Taha sebagai penerima Anugerah Pesona Aksara Qalbu.

Pengarah Pusat Seni dan Warisan UniSZA, Prof. Madya Sahar Sa'di Hashim berkata, seramai enam tokoh yang berbeza latar belakang dalam bidang kesenian dipilih untuk menerima penghargaan tersebut sebagai tanda prihatin mahasiswa terhadap insan seni yang kurang mendapat perhatian umum.

"Setiap tokoh yang dipilih untuk menerima penghargaan ini mempunyai kehebatan dan kelebihan masing-masing mengikut bidang seni mereka seperti nyanyian, tarian, penggiat muzik dan penggiat kraf tradisional.

"Jika diteliti, hasil-hasil karya penerima anugerah berkenaan pernah diangkat sehingga ke peringkat antarabangsa pada satu ketika dahulu dan tidak dapat dinafikan Terengganu merupakan sebuah negeri yang sering dirujuk oleh pelbagai golongan masyarakat untuk mendalami keaslian seni warisannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Seni dan Warisan UniSZA: Akar Rasa 1.0 yang dianjurkan oleh para pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Antropologi dan Dakwah) sebagai satu tanggungjawab sosial korporat mahasiswa kepada penggiat seni. - K! ONLINE