Katanya, jika perkara itu berlaku beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang tegas ke atas individu yang bertanggungjawab melakukannya.

"Jabatan Veterinar mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam menangani masalah anjing liar yang ditangkap semasa Operasi Rabies yang kini giat dijalankan di negeri ini. Kita (Jabatan Veterinar) tidak melakukan perbuatan sedemikian, ia kejam. Jika betul perkara ini berlaku saya sendiri akan mengambil tindakan terhadap individu tersebut," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah ditemui selepas merasmikan International Catholic Committee of Nurses and Medical Social Assistants (Ciciams) di Hotel Riverside Majestic di sini, hari ini.

Dua hari lepas sebuah akhbar tempatan memetik satu sumber dalam laporannya mengenai tindakan pemburu anjing yang melupuskan haiwan itu dengan cara melemaskannya sebagai usaha menjimatkan kos, dalam operasi membanteras penularan jangkitan penyakit rabies, atau penyakit anjing gila.

Uggah berkata, beliau berasa kesal dengan tindakan individu yang melaporkan berita itu dan menyifatkannya sebagai melanggar etika kewartawanan. – Bernama