Menurutnya, peningkatan undi itu adalah isyarat awal kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa pengundi sekarang adalah pengundi yang matang dan berani membuat perubahan pada bila-bila masa.

Beliau berkata, meskipun kalah kepada calon PH, Halimey Abu Bakar namun peningkatan undi yang diterima disifatkan satu 'kemenangan' moral buat Pas.

"Pada PRK kali ini kita berjaya memenangi semula beberapa kawasan yang kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) antaranya Pusat Daerah Mengundi (PDM) TTDI Jaya dan Sungai Way. PDM PJS5 juga kita berjaya menambah bilangan undi pada PRK ini.

"Undi awal dan undi pos juga memihak kepada kita. Ini membuktikan bahawa ada di antara pengundi yang mula sedar bahawa kerajaan sekarang tidak dapat menunaikan janji seperti manifesto pada PRU-14 lalu,"katanya pada sidang akhbar di Pejabat Pas Cawangan TTDI Jaya di sini hari ini.

Dalam pada itu Halimah berkata, kerjasama antara Pas dan UMNO dalam blok pembangkang juga banyak membantu meningkatkan undi kepadanya dan membuktikan bahawa kerjasama kedua-dua parti berkenaan mula diterima rakyat.

"Kerjasama ini akan membawa kebaikan kepada rakyat, namun ia (kerjasama) bukan bermakna kita mesti setuju atau membangkang dalam semua hal tetapi yang penting apa sahaja perkara yang membawa kebaikan kepada rakyat akan diperjuangkan," katanya.

Pada PRK Seri Setia semalam, Halimey,46, yang merupakan bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperoleh 13,725 undi manakala Halimah, 58, yang merupakan bekas anggota Exco kerajaan negeri Se­langor mendapat 9,698 undi.

Halimey menang dengan majoriti 4,027 undi, bagaimanapun majoriti yang diperolehinya lebih rendah berbanding yang dimenangi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Allahyarham Prof Dr. Shaharuddin Badaruddin pada PRU-14, 9 Mei lepas iaitu sebanyak 19,372.

Kadar peratusan pengundi pada PRK Seri Setia ialah 44.1 peratus.

PRK DUN Seri Setia diadakan se­rentak dengan PRK DUN Balakong dan diadakan ekoran kematian Allahyarham Shaharuddin akibat kanser usus pada 2 Ogos lepas. - K! ONLINE