Menterinya, Dr. Xavier Jayakumar berkata, perkara tersebut sedang dalam peringkat kajian dan apabila ia siap kelak, undang-undang tersebut akan dibentangkan di Parlimen.

Beliau berkata, undang-undang itu penting bagi memastikan penggunaan air bawah ini digunakan secara mampan serta tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar.

"Ketika ini, penggunaan sumber air bawah tanah hanya kira-kira tiga peratus sahaja dan ia melibatkan beberapa industri perkilangan dan kegunaan isi rumah.

"Belum ada undang-undang khusus untuk penggunaan sumber air bawah tanah dan apabila undang-undang ini dikuatkuasa kelak, kita sasarkan penggunaan sumber air bawah tanah ini melebihi 20 peratus di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Air Bawah Tanah Kebangsaan pertama di sini hari ini. 

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tanah, dan Sumber Asli, Datuk Zurinah Pawanteh, Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Datuk Shahar Effendi Abdullah Azizi dan Setiausaha Agung dan Pengerusi Lembaga Pengarah Japan Water Forum, Dr Kotaro Takemura.

Mengulas lanjut Xavier berkata, penggunaan sumber air bawah tanah bukan sesuatu yang baharu berikutan Kelantan sudah menggunakannya untuk bekalan air kepada pengguna manakala Selangor pula untuk kegunaan industri. 

"Ketika ini kita mempunyai simpanan air bawah tanah lebih lima trillion meter padu dan banyak pemain industri berminat dengan penggunaan sumber air bawah tanah.

"Kita juga akan menjalin kerjasama dengan kerajaan Jepun untuk mengadaptasi teknologi yang digunakan negara berkenaan dalam aktiviti pemetaan sumber bekalan air bawah tanah di negara ini,"ujarnya.

Tambah beliau, Jepun merupakan antara negara yang mempunyai kepakaran dan teknologi dalam memeta dan menggunakan sumber air bawah tanahnya.

“Saya telah berjumpa sendiri dengan menteri terlibat semasa lawatan ke Jepun baru-baru ini dan beliau bersetuju untuk membantu kita membuat pemetaan sumber air itu. 

"Pihak kedutaan kita di sana juga telah diminta untuk membuat susulan mengenai cadangan-cadangan yang dibentangkan kepada menteri tersebut,” katanya. - K! ONLINE