Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah berkata, dalam majlis tersebut juga, pihaknya menyerahkan surat kelulusan untuk membaik pulih 15 unit rumah di dalam kawasan Hulu Kinta di sini bagi suku pertama tahun ini. 

“Sejumlah tiga buah rumah PPRT masing-masing bernilai RM56,000 setiap buah berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pemiliknya. 

“Sebanyak 15 buah keluarga juga bakal mendapat manfaat apabila surat permohonan untuk membaik pulih rumah turut diluluskan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan semasa menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPRT di Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta, Tambun hari ini. 

Turut hadir, Pengarah Pusat Latihan Giat Mara Perak, Mohammad Sadzilan Mohd. Saad. 

Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta berkata, kesemua projek tersebut merupakan program Touch Point Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang dilaksanakan oleh Pusat Latihan Giat Mara Tambun. 

“Secara keseluruhannya, lebih 800 buah rumah akan dibaik pulih oleh Pusat Latihan Giat Mara di seluruh negeri Perak dalam masa terdekat,” katanya. - K! ONLINE