Setiausaha UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ahmad Azmey Abu Talib berkata, pihaknya telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan di sini pada hari yang sama.

"UMNO Bahagian Pekan ingin memberi penjelasan dan kronologi berhubung pendedahan Datuk Seri Najib Tun Razak (Ahli Parlimen Pekan) bahawa beliau pernah menerima ancaman apabila pejabatnya ditembak.

"Kejadian dipercayai berlaku pada cuti hujung minggu, 11 atau 12 November 2017 dan hanya disedari kakitangan yang memasuki pejabat di tingkat empat," kata beliau dalam kenyataan kepada pemberita di sini hari ini.

Ahmad Azmey berkata demikian bagi mengulas pendedahan Najib pada Wacana Penerangan UMNO di Kuala Lumpur pada 7 Ogos lalu mengenai ancaman diterimanya sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Ujar beliau lagi, kesan tembakan turut ditemui di tingkat lima bangunan tersebut dan telah diperiksa oleh Pengarah Bahagian Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ketika itu, Datuk Seri Moktar Mohd. Sharif.

"Bagaimanapun, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak memaklumkan hasil siasatan mengenai kes berkenaan.

"UMNO Pekan tetap menaruh keyakinan bahawa PDRM mampu menjalankan siasatan dan menangani kes ini," tambahnya. - K! ONLINE