Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, proses itu perlu dihormati dan tidak dicemari dengan spekulasi dan khabar angin yang tidak sahih apatah lagi dipolitikkan.

"UMNO menyatakan sepenuh keyakinan kepada kebijaksanaan dan kepimpinan Majlis Raja-Raja dalam tradisi dan hal ini. UMNO mengecam keras sebarang tindakan bersifat menangguk di air yang keruh. 

"Malah, UMNO ingin menyeru bukan saja orang Melayu, tetapi seluruh bangsa Malaysia untuk bersama-sama menyatakan sokongan, kesetiaan dan kasih yang tidak berbelah bahagi kepada institusi Raja-Raja Melayu," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Mohamad berkata, semua pihak selaku warga negara yang menjunjung Rukun Negara perlu menghormati kedaulatan institusi diraja dengan taat dan setia.

Beliau yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO berkata, parti itu mendoakan proses pemilihan Yang di-Pertuan Agong akan berjalan lancar dan baik. 

Katanya, UMNO juga akur dan menghormati keputusan Sultan Muhammad meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15.

"UMNO mengambil kesempatan ini menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku atas naungan serta kepimpinan yang diberikan sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong," katanya. - K! ONLINE