Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sudah menjadi rutin Pas untuk menjemput parti-parti pembangkang negara ini untuk menghadiri setiap kali muktamar tahunan diadakan.

"Bukan perkara baharu, kita (Pas) menjemput parti pembangkang untuk menghadiri muktamar tahunan. Dulu sewaktu menyertai Pakatan Rakyat, Pas juga pernah menjempat DAP dan PKR (Parti Keadilan Rakyat).

"Kini kita menjemput UMNO, MCA, MIC dan lain-lain kerana parti-parti politik itu sudah menjadi pembangkang," katanya selepas meninjau persiapan Muktamar Tahunan Pas Pusat di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.

Takiyuddin memberitahu setakat ini, hanya Presiden UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi telah mengesahkan kehadiran bersama 10 perwakilan dari biro politik parti itu untuk menghadiri Muktamar Tahunan Pas Pusat berkenaan. - K! ONLINE