Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu dengan menyatakan ia terletak di bawah jawatankuasa kewangan, aset dan pelaburan parti dipengerusikan Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. 

"Memang ada usaha melepaskan beberapa pegangan saham UMNO kepada pembida tertentu melalui proses-proses yang menepati peraturan yang disyaratkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Parti itu sebelum ini dilapor telah menjual 11.09 peratus pegangannya dalam Media Prima Bhd. selain melepaskan pegangan saham 31.6 peratus dalam Utusan Melayu (M) Berhad. - Bernama