Baginda juga mahu supaya masyarakat Islam di negeri ini tidak mengabaikan tuntutan Islam atas nama kemajuan dan kemodenan untuk memenuhi gaya hidup ciptaan manusia. 

Titah baginda, kerajaan Negeri perlu mengenal pasti gerakan golongan-golongan tertentu yang cuba untuk memesongkan akidah umat Islam di negeri ini. 

"Peristiwa hijrah memberi pengertian besar dalam penyebaran landskap kehidupan berlandaskan syiar Islam dan ia perlu diperkukuhkan supaya kekal dipegang oleh generasi akan datang. 

"Kerajaan Negeri perlu mengenali pihak-pihak tertentu yang cuba untuk pesongkan pegangan ini dengan ajaran dan falsafah yang boleh menggugat umat Islam," titah baginda ketika berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang di sini hari ini. 

Turur Hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Mohd. Tahir dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh dan Exco Hal Ehwal Islam, Pelajaran dan Kesihatan, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad. 

Sementara itu, pada  pada majlis berkenaan, seramai 2,000 umat Islam menghadiri sambutan tahun baru hijrah yang diadakan di Masjid Negeri Sultan Haji Ahmad 1 di sini hari ini.

Sempena majlis sambutan tahun ini, bekas Dekan Pengajian Islam, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Datuk Dr. Ahmad Munawar Abdul Jalil dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang. - K! ONLINE