Kejadian kira-kira pukul 6.10 petang itu disedari pemilik kucing berkenaan, Wan Fairus Hisam, 40, apabila dia mendapati hanya dua ekor daripada lima kucing peliharaannya berada di dapur rumahnya.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Hulu Selangor, Leftenan Pertahanan Awam Mansor Ab. Rasid berkata, mangsa kemudian terkejut selepas menemui seekor ular tedung sedang menyorok di bawah mesin basuh rumahnya.

“Saya difahamkan, pemilik rumah berkenaan menyedari kehadiran ular tedung tersebut selepas mendengar bunyi dengusan di bawah mesin basuh yang terletak di dapur rumahnya ketika sedang mencari anak kucingnya.

“Pemilik rumah berkenaan segera menghubungi talian kecemasan selepas bimbang akan keselamatan dirinya dan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mansor lagi, sepasukan lima anggota APM yang diketuai oleh Koperal (PA) Mohd. Firdaus Abd Samad telah bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menangkap ular tersebut.

“Anggota kita kemudian telah menangkap reptilia berbisa berkenaan dan kerja-kerja penangkapan itu mengambil masa kira-kira 25 minit kerana ular tersebut bertindak agresif ketika hendak ditangkap.

“Ular tedung itu juga telah dilepaskan di dalam hutan kira-kira 35 kilometer dari rumah pemanggil bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” jelasnya. - K! ONLINE