Ada bermacam-macam cara untuk mengenali hati yang te­lah menjadi besar diri. Ini termasuklah apabila diri berasa lebih hebat, lebih berpe­ngaruh, lebih kuat, lebih pandai, lebih cekap, lebih tampan atau lebih cantik. Memandang rendah kepada orang lain, mengangkat kelebihan atau kebaikan diri, berbunga hati apabila dipuji selain suka mempamerkan harta, kebahagiaan, tubuh badan dan lain-lain juga tergolong dalam sifat tinggi diri.

Semakin banyak keunggulan dimiliki semakin tinggi pula risiko tinggi hati itu. Mustahil seorang manusia dilahirkan ke dunia ini tanpa satu pun kelebihan. Malang­nya kita tanpa sedar sering bersifat angkuh dan sombong melalui tutur kata serta suka menunjuk-nunjuk dan mempamerkan sesuatu kerana mahu dipuji dan disanjung. 

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sombong adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan manusia lain.” 

Ibnu Qayyim, cendekiawan dan ahli fiqh terkenal abad ke-13, pernah menyatakan bahawa “hati manusia berdepan dua ‘penyakit’ yang amat kritikal, jika orang itu tidak menyedarinya pasti dia sedang menuju kehancuran. Dua pe­nyakit itu adalah riak dan takbur.”
Kata Imam Ghazali pula: “Orang yang takbur itu ialah orang yang apabila ditegur, dia marah dan benci, sedangkan kalau dia menegur orang lain, ditegurnya dengan keras dan kasar.”

Perilaku orang yang rendah hati adalah sebaliknya. Antaranya mudah menerima pandangan orang lain biarpun orang berkenaan lebih muda ataupun lebih rendah pangkatnya. Sabar dalam perbincangan, tidak mudah marah atau emosional, lebih suka menjaga suasana harmoni dalam perbincangan daripada bertegang leher dengan rakan-rakannya.

Tidak memilih-milih kawan, boleh bergaul dengan semua orang malah, boleh duduk semeja dengan orang yang pernah mengkritiknya.

Kalau diminta memberi pendapat dan pendapatnya diterima orang, dia tidak men­dabik dada. Jika pendapatnya ditolak, dia berlapang dada dan tidak berkecil hati.

Mudah juga memberi maaf kepada orang yang tersilap dengannya. Dia tidak mudah memarahi atau menghina orang tersebut. Malah, dia segera minta maaf jika me­lakukan kesilapan sekalipun orang itu lebih rendah jawatan atau umur daripadanya.

Hakikatnya adab dan sifat rendah hati lebih berkuasa daripada pengetahuan. Ini kerana dalam kehidupan sebenar, terdapat banyak situasi di mana pengetahuan telah gagal tetapi adab mampu menyelesaikan hampir semua perkara.

Dilip Kumar, seorang bintang filem tersohor Bollywood menceritakan bagaimana dia tidak dipedulikan oleh seorang lelaki yang duduk di sebelahnya dalam satu pe­nerbangan walaupun ketika itu dia berada di puncak populariti.

Kata Dilip Kumar, lelaki tua itu berpakaian sederhana se­perti golongan kelas mene­ngah yang berpelajaran. Dia cuba berbual-bual dengan lelaki itu dan sempat bertanyakan tentang filem kegemarannya. Kata lelaki itu, dia pernah menonton wayang sekali, bertahun-tahun dahulu.

Apabila Dilip Kumar memberitahu yang dia seorang pelakon, lelaki itu mengatakan ia pekerjaan yang bagus. Ketika pesawat tersebut mendarat, Dilip Kumar berjabat tangan dengan lelaki tersebut sambil berkata: “Seronok dapat bertemu anda dalam pe­nerbangan. Apa pun nama saya Dilip Kumar.” Lelaki itu menjawab: “Terima kasih. Saya JRD Tata.”

JRD Tata ialah bilionair yang memiliki Kumpulan TATA di India. Mendiang meninggal dunia pada tahun 1993.

Dalam autobiografinya, Dilip Kumar berkata insiden tersebut membuatkan dia tersedar bahawa tidak kira sehebat mana pun diri anda, akan ada orang yang lebih hebat daripada anda.

Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendah diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat. Bak kata pepatah, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.