Naib Canselornya, Prof. Ir. Dr. Mohd. Azraai Kassim berkata, kekerasan itu bukan sahaja terkeluar dari norma masyarakat demokrasi dan nilai masyarakat Melayu Islam yang kaya dengan adab sopan, malah bertentangan dengan perundangan negara.

"Bagi UiTM, keganasan bukanlah cara penyelesaian terhadap perbezaan pendapat atau ideologi dan tidak mempunyai tempat di mana-mana kampus UiTM.

"Justeru, UiTM dengan tegas mengecam dan amat kecewa terhadap perkembangan seperti yang dilaporkan oleh pihak media di mana sekumpulan pelajar Universiti Malaya (UM) yang menzahirkan pandangan mereka secara aman dikasari baru-baru ini," katanya dalam kenyatan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, UiTM mendokong penuh hasrat dan usaha kerajaan dalam memberikan lebih ruang kebebasan kepada pelajar untuk bersuara berpandukan kepada perundangan negara.

Ujarnya, usaha itu sekiranya dilaksanakan dengan penuh berhemah dan bertanggungjawab akan dapat membangunkan keupayaan pelajar untuk turut terlibat dan berperanan sebagai rakyat yang bertanggungjawab dalam pembangunan negara secara amnya.

"Kebebasan warga akademik dan pelajar untuk berdebat secara intelektual mengenai isu kepentingan umum merupakan proses pendidikan selagi ia tidak melanggar undang-undang negara Malaysia.

"Inisiatif pihak kerajaan ini sewajarnya mendapat sokongan daripada semua pihak bagi memastikan golongan yang bakal menerajui negara pada masa hadapan dapat menimba pengalaman seawal mungkin," katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan UiTM yakin bahawa aspirasi pendidikan tinggi ke arah melahirkan golongan intelek yang lebih matang dan terbuka, berani menyatakan buah fikiran serta memperjuangkan keadilan dan mempertahankan hak mereka akan dapat dicapai.

"UiTM sekali lagi menegaskan tidak bersetuju dan tidak akan menyokong penggunaan kekerasan sebagai jalan penyelesaian.

"Kita berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang sewajarnya melalui proses undang-undang supaya insiden seperti ini tidak akan berulang lagi pada masa hadapan," katanya.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dalam satu kenyataan semalam memaklumkan memberi peringatan kepada pihak pengurusan universiti supaya sentiasa mendukung pendirian kebebasan mahasiswa selagi mana tidak bertentangan dengan undang-undang negara dan peraturan peraturan universiti.

Terdahulu, dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam telah bertindak mengasari pelajar UM di hadapan Restoran Amjal berhampiran UM.

Lokman telah bertindak merampas dan mengoyak poster yang dipegang sekumpulan pelajar tersebut kerana tertera gambar pemimpinnya. - K! ONLINE