Naib Canselornya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, dasar tersebut masih relevan berikutan keperluan kaum bumiputera terutama dari kawasan pedalaman yang miskin masih ramai lagi.

"UiTM telah memberikan impak yang besar pada sosial ekonomi bumiputera dan penyatuan bangsa Malaysia kerana menyumbang kepada Equity For Unity (ekuiti untuk perpaduan).

"Ekuiti bermaksud penting menyatupadukan bangsa Malaysia dan UiTM masih relevan menyumbang ke arah itu dan bukan masanya mengubah dasar," katanya pada sidang akhbar selepas memorandum persefahaman projek endowmen pembangunan residensi  antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (ATM) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr Arshad Ayub bahawa kemasukan ke UiTM boleh dibuka kepada bukan bumiputera, namun hanya untuk kursus pengajian pascasiswazah bagi menjamin keseimbangan persaingan antara pelbagai kaum di negara ini.

Ketika ditanya sama ada cadangan itu bagi meningkatkan ranking UiTM, Hassan menegaskan ranking UiTM hanya untuk peringkat antarabangsa dan bukan dalam negara.

Ujar beliau, skor ranking dinilai apabila sesebuah universti awam itu menerima kemasukan pelajar antarabangsa dalam jumlah yang tinggi.

"Namun dalam bentuk bangsa lain di negara ini, mereka (kaum lain) boleh bersama dengan kita dalam bentuk mobiliti.

"Justeru, tidak semestinya mereka (kaum lain) perlu mendaftar (pengajian) sepenuh masa dengan UiTM sebaliknya boleh mendaftar dalam satu atau dua semester dan pendekatan itu juga dilakukan bagi pelajar UiTM untuk pergi (belajar) di universiti swasta dalam jumlah semester yang sama.

"Ini dinamakan sebagai konsep integrasi. Jadi, proses mobiliti ini tiadalah sampai mengubah dasar sedia ada," katanya. - K! ONLINE