Naib Canselornya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, pihaknya mendapati terdapat beberapa perkara di dalam pelaksanaan sistem berkenaan yang perlu ditambah baik agar ia lebih mesra pensyarah.

"Terdapat beberapa komponen dalam iCGPA itu antaranya untuk memberi penerangan kepada pihak majikan tentang kemampuan pelajar kita dari segi soft skil.

"Namun yang memberi masalah kepada kakitangan adalah dari segi proses iaitu proses memasukkan markah kerana kemampuan pensyarah menilai itu berbeza," katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Media bersama pengurusan kanan UiTM di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai keputusan kerajaan bahawa universiti awam di negara ini tidak lagi wajib melaksanakan sistem iCGPA berkuatkuasa 20 Jun lalu.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapati sejak pelaksanaan iCGPA, tumpuan pensyarah beralih daripada tugas utama mereka iaitu mengajar, menjalankan kajian, menulis, menyelia pasca siswazah dan berkhidmat untuk masyarakat.

iCGPA adalah satu sistem penggredan bersepadu untuk menilai dan melaporkan prestasi akademik pelajar serta kemahiran profesional diperoleh sepanjang pengajian mereka di universiti.

iCGPA menggunakan pendekatan holistik dengan menilai prestasi pelajar bagi lapan domain hasil pembelajaran seperti pengetahuan; kemahiran psikomotor; kemahiran dan tanggungjawab sosial; nilai, sikap dan profesionalisme; kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan; kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran saintifik; kemahiran pengurusan maklumat dan pembelajaran sepanjang hayat; serta kemahiran mengurus dan keusahawanan.

Hassan berkata, terdapat keperluan untuk iCGPA diteliti semula dalam usaha memberi pelaporan yang tepat dan seimbang kepada pelajar, pensyarah dan majikan.

"Kita rasakan ini (iCGPA) perlu diteliti semula dan mungkin kita akan wujudkan yang lebih friendly kepada pensyarah selain pelajar itu dapat mengetahui apa kelemahan mereka daripada segi bukan akademik.

"Misalnya dari segi komunikasi mereka tidak begitu mantap jadi mereka akan dapat berhubung dengan pensyarah atau dekan bagaimana untuk memantapkan skil tersebut sama ada menghadri kursus-kursus yang sesuai atau sebagainya," ujarnya. - K! ONLINE