Rektor UiTM Perlis, Zailuddin Ariffin berkata, universiti itu kini mempunyai 750 pokok kelapa jenis meren dan 350 pokok kelapa jenis matag yang ditanam di ladang seluas 12 hektar.

"Kita menyasarkan 40 kilogram santan segar yang dijual secara terus setiap hari dan pembeli boleh datang terus ke kampus universiti ini untuk membelinya atau melalui tempahan terlebih dahulu.

"Selain itu, santan segar itu akan dibungkus dengan bekas yang menarik disertakan logo universiti berbanding bungkusan plastik semata-mata.

"Ini merupakan sumber pendapatan terbaharu bagi UiTM Perlis selain jualan buah mempelam harumanis dan daging rusa sejuk beku," katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri 2018 Peringkat UiTM Perlis di Kompleks STAR di sini hari ini.

Turut berangkat hadir Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan melancarkan pra jualan santan segar produk UiTM Perlis itu. - K! ONLINE