Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, projek yang dibina pada tanah berkeluasan 0.76 hektar berhampiran dengan tapak Hospital Pelatih UiTM di Puncak Alam dijangka siap pada 2021. 

Katanya, LTAT akan menyumbang endowmen sebanyak RM6 juta manakala UiTM memperuntukkan RM2.8 juta. 

"Residensi yang mempunyai 39 bilik penginapan termasuk tiga unit bilik studio akan disewakan kepada pelajar, ibu bapa dan orang ramai yang memerlukan penginapan di sekitar UiTM, Puncak Alam di sini. 

“Bagaimanapun, kadar sewa belum ditetapkan dan akan mengkaji terlebih dahulu permintaan dan pasaran semasa," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian Projek Endowmen Pembangunan Residensi antara UiTM dan Yayasan LTAT di sini hari ini.

Terdahulu, perjanjian itu ditandatangani Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Hassan Said dan Pemegang Amanah Yayasan LTAT, Datuk Azzat Kamaludin dengan disaksikan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu. 

Syed Zainal menjelaskan hasil penjanaan pendapatan residensi itu akan digunakan  untuk memberi biasiswa kepada anak-anak tentera atau bekas tentera di UiTM. 

Sementara itu, Ketua Eksekutif LTAT, Nik Amlizan Mohamed menegaskan, ini merupakan kerjasama kedua pihaknya bersama universiti awam selepas Universiti Islam Antarabangsa Malaysia beberapa tahun lalu.

"Cadangan pembinaan residensi di UiTM Puncak Alam telah direncanakan sejak empat tahun lalu dengan objektifnya bagi memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar terpelihara memandangkan kos sara hidup semakin meningkat ketika ini. 

"Secara tidak langsung dapat mengumpul dana untuk diguna pakai sebagai biasiswa anak-anak tentera dan bekas tentera yang cemerlang dalam pelajaran," katanya. - K! ONLINE