Pengarahnya, Datuk Alias Salim berkata, pihaknya sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin menyertai IBR tersebut dan sedia bekerjasama pada bila-bila masa.

"Kita di SPRM sentiasa mengalu-alukan pihak yang ingin menyertai IBR ini, kita tiada sekatan, mana-mana pasukan boleh membuatnya (IBR).

"Bagi pasukan yang ingin melakukan IBR ini, mereka boleh terus menghubungi SPRM Selangor. Kita tidak mahu bola sepak negara kita ini tercemar dengan amalan rasuah dan perkara-perkara negatif yang boleh merosakan sukan ini,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pasukan UiTM FC, Skuad Piala Presiden dan Skuad Muda UiTM di Kompleks Sukan UiTM di sini hari ini.

Pada majlis tersebut hampir 100 orang pemain serta pegawai pasukan UiTM FC menandatangani IBR terbabit disaksikan oleh Alias.

Mengulas lanjut mengenai majlis tersebut, pihaknya amat mengalu-alukan inisiatif yang dilakukan oleh pihak UiTM dan mereka adalah pasukan bola sepak universiti pertama menandatangani IBR tersebut.

"Langkah yang dilakukan UiTM amat baik dalam memastikan ketiga-tiga pasukan dalam UiTM ini (pasukan Liga Premier, Skuad Piala Presiden dan Skuad Muda UiTM) terhindar daripada gejala rasuah, bookie dan sebagainya," katanya. - K! ONLINE