Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Zahrin Zakaria berkata, UDA Cares diperkenalkan bagi meningkatkan kesedaran ramai terhadap usaha dan inisiatif UDA dalam memperkasakan komuniti setempat.

Menurutnya, dalam pelancaran ini, UDA memperkenalkan empat tunggak baharu dalam CSR iaitu UDA Cares-Educational, UDA Care-Entrepreneur, UDA Care-Project RE_ dan UDA Cares-Enriching Life.

“UDA Care-Educational diperkenalkan bagi mendekati generasi muda khususnya pelajar sekolah sebagai usaha memperkasakan komuniti setempat menerusi pendidikan.

“Inisitif ini diterjemahkan melalui program sekolah angkat yang dipilih di dalam kawasan perniagaan UDA iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Danga dan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Uda Utama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran anak syarikat, UDA Land South Sdn. Bhd. di Angsana Mall di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Pengurusan Aset UDA, Datuk Ahmad Tajuddin Mohamed.

Zahrin berkata, UDA Care-Entrepreneur pula dilaksanakan bagi usaha menggalakkan kegiatan keusahawanan dalam komuniti setempat.

Jelasnya, bagi UDA Care-Project RE_ pula memfokuskan untuk memberi nilai tambah kepada komuniti kepada tiga elemen utama iaitu komuniti, alam sekitar dan kesihatan.

Menurut beliau, melalui program UDA Cares-Enriching Life pula, UDA menyantuni golongan yang memerlukan khususnya golongan asnaf yang layak menerima sumbangan zakat.

“Usaha berterusan ini dijalankan bukan sahaja memberi nilai tambah dan membantu komuniti setempat tetapi dalam masa yang sama mengeratkan hubungan antara UDA dan anak syarikat bersama komuniti setempat,” katanya. - K! ONLINE