Apatah lagi, kalau ia membabitkan kehilangan harta benda atau nyawa orang tersayang. Namun, kisah Dr. Abdul Munim Sombat Jitmoud yang memaafkan pembunuh anaknya, seorang penghantar piza dalam kejadian rompakan di Lexington, Kentucky, Amerika Syarikat (AS) menjadi contoh terbaik untuk kita renungi bersama.

Ketika perbicaraan di sebuah mahkamah di Kentucky, Abdul Munim yang pada satu ketika dulu ialah pengetua sekolah agama Islam di AS telah mengejutkan masyarakat di negara itu. 
Pada saat pembunuh anaknya, Trey Relford, 24, yang merupakan remaja berkulit hitam bakal meringkuk di dalam penjara selama 31 tahun atas pertuduhan menikam hingga menyebabkan kematian Salahuddin Jitmoud, 22, pada 19 April 2015, Abdul Munim membuat pengumuman yang tidak disangka-sangka.

Pada pengakhiran ucapannya di hadapan hakim termasuk beberapa sanak saudaranya dan ahli keluarga si pembunuh, pendakwah warga usia emas yang kini menetap di Thailand itu berkata:

“Wahai anak (Relford), saya mewakili (arwah) isteri dan (arwah) Salahuddin memaafkan kamu. Saya tidak me­nyalahkan kamu atas jenayah yang kamu lakukan. Saya tidak marah pada kamu yang telah menyakiti (arwah) anak saya. Saya marah kepada ­iblis yang mengelirukan kamu dalam jenayah dahsyat ini.

“Saya simpati dengan keluarga kamu. Mereka mahu kamu berjaya. Kejayaan kamu adalah kejayaan mereka. Ke­gembiraan kamu adalah ke­gembiraan mereka. Kini, mereka terpaksa menangis atas jenayah yang kamu lakukan.

“Jika Salahuddin masih hidup, dia juga akan memaafkan kamu. Kemaafan adalah kurniaan terbesar dalam Islam, kami bersedia memaafkan orang yang telah menya­kiti keluarga kami.”

Kata-kata Abdul Munim membuatkan bukan sahaja si tertuduh dan ibunya mena­ngis malah hadirin di galeri awam termasuk hakim turut menitiskan air mata.

Dalam reaksi spontan pembunuh Salahuddin, lelaki itu dengan nada terketar-ketar berkata: “Saya minta maaf terhadap apa yang berlaku pada malam itu. Saya tidak dapat bayangkan kepedihan, kesakitan (Salahuddin). Tiada apa yang saya boleh lakukan, saya berterima kasih atas kemaafan kamu.”

Sementara ibu Relford pula berkata: “Sesungguh­nya, saya sangat terkejut de­ngan kemaafan yang dihulurkan kamu. Terima kasih.” 
Suasana di mahkamah menjadi semakin pilu apabila Abdul Munim memeluk Relford yang tidak henti-henti mengalirkan air mata. 
Kes yang sarat dengan pengajaran itu kemudian mendapat liputan meluas media terma­suk CNN, Indepen­dent dan Daily Mail.

Masing-masing membuat rumusan serupa. Mereka antara lain berkata, Abdul Munim seorang lelaki Islam yang berhati suci yang sanggup memaafkan penjenayah yang telah meragut nyawa anaknya yang merupakan harapan keluarga. Kata wartawan media gergasi itu lagi, ‘kata kemaafan’ telah mengikat silaturahim antara dua keluarga yang berbeza fahaman agama.

Seperti kata pendakwah itu, Islam mengajarnya untuk menjadi pemaaf meskipun dia berdepan ujian pa­ling getir dan kesedihan yang tidak tertanggung. 
Sifat Abdul Munim itu juga menunjukkan kepada dunia bahawa kemaafan bukan menandakan kelemahan diri. Sebaliknya ia manifestasi kematangan dan rasa tanggungjawab seseorang.

Dalam surah al-Baqarah, ayat 237 Allah menyebut: “Dan perbuatan kamu bermaafan (halal menghalalkan) lebih dekat kepada takwa.”

Sesungguhnya, tiada orang lain yang lebih banyak mendapat maaf daripada Allah SWT melebihi daripada orang yang cenderung memberi maaf kepada orang lain. Mudah-mudahan Allah menganugerah­kan kita sifat santun, sabar, mahu menerima maaf dan mampu memaafkan orang lain. Percayalah, dengan me­ngucap kata maaf juga, ia berupaya membebaskan kita daripada bebanan.