"Kawasan bekas lombong yang cukup (sangat) berbahaya kepada orang ramai sebaiknya ditransformasikan menjadi tempat yang cukup menarik dan ia boleh dijadikan sebagai tarikan kepada pelancong," titah baginda.

Tengku Abdullah bertitah demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mangala Resort & Spa, Gambang di sini yang turut dihadiri isteri baginda, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ujar Tengku Abdullah, baginda mengetahui tapak asal Mangala Resort & Spa adalah sebidang tanah bekas lombong sebelum ia diubah menjadi pusat peranginan berkonsepkan ekopelancongan.

"Ia (Mangala Resort & Spa) adalah satu lagi kemajuan yang berjaya mentransformasikan sebuah kawasan yang ditinggalkan terbiar selama beberapa tahun.

"Resort ini juga telah mendapat pengiktirafan antarabangsa iaitu International Fiabci World Prix Excellence Award Gold Winner pada Mei lalu dan ia harus dijadikan contoh," titah baginda.

Pengarah Urusan Kumpulan Franky Pahang, Datuk Franky Chua selaku pemilik Mangala Resort & Spa berkata, pusat peranginan seluas 24 hektar itu dibangunkan di kawasan ladang kelapa sawit seluas 161 hektar yang dibuka di atas tanah bekas lombong.

"Resort ini menyediakan penginapan 65 vila mewah dilengkapi kolam renang, tasik serta kawasan rekreasi yang turut terdapat dusun durian Musang King, mulberi, kedondong, kelapa pandan serta bunga roselle.

"Terdapat juga lebih 90 spesies burung yang menjadikan kawasan tasik di resort ini sebagai tempat persinggahan," ujar beliau sambil memberitahu pihaknya mengambil masa selama 15 tahun untuk membangunkan pusat peranginan tersebut. - K! ONLINE